» Update: Senarai pelajar yang tiba di Jeddah & Malaysia «

Jamil Khir berkata, pelajar di negeri di bawah pakatan pembangkang yang tidak menerima bantuan kerajaan negeri pula boleh mendaftar di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan bantuan.

Followers

Sunday, February 6, 2011

Laporan Terkini - 6.2.2011 (8.53mlm)

Hari ini semua panggilan ke Mesir mudah ditembusi. Penulis berjaya menghubungi Dato' Seri Shahidan Kassim (gambar)yang masih berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Beliau yang datang dengan inisiatif peribadi melalui Yayasan Pok memberitahu terdapat tambahan 1200 orang rakyat Malaysia yang mengubah fikiran di saat-saat akhir setelah mengetahui bahawa penerbangan ihsan ini adalah percuma. Mereka datang ke lapangan terbang bukan melalui Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK). Maka, pihak Majlis Keselamatan Negara, Wisma Putra dan KBMK telah mendapatkan penerbangan tambahan bagi menghantar kumpulan ini ke Jeddah, Arab Saudi. "Alhamdulillah semua yang datang ke sini akan dihantar pulang", ujar beliau. Beliau yang juga Bendahari Sekretariat KULN memaklumkan, beliau tidak akan pulang selagi Ops Piramid ini belum selesai.

Penulis juga berjaya menelefon Ustaz Khairi Jalaluddin (gambar), Atase Pendidikan (Akademik). Beliau juga masih berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Menurut beliau, hampir 9,000 orang rakyat Malaysia telah selamat diterbangkan ke Jeddah, Arab Saudi. Namun baki 2300 orang masih berada di Mesir. Ketika ini semua penumpang ke Jeddah mendapat bekalan makanan secukupnya yang disediakan oleh pihak Kerajaan Malaysia. Menurut beliau pihak Kementerian Pengajian Tinggi Mesir telah memaklumkan pengajian di kebanyakan universiti akan bermula pada 13 Februari 2011. Namun beliau akan merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia bagi menangani isu ini selain ianya bergantung kepada perkembangan mutakhir di Mesir. Selain itu, bagi mengemaskini data pelajar yang telah pulang ke Malaysia terlebih awal sebelum Ops Piramid, beliau meminta mereka berhubung kepada pihak Wisma Putra seberapa segera. Ini sebagai langkah mendapatkan bilangan sebenar rakyat Malaysia yang telah selamat di tanahair. Beliau yang tidak akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat menyifatkan Ops Piramid ini telah membuktikan kejayaan kepimpinan YAB Dato' Sri Najib Tun Razak.

Perkembangan di Alexandria pula, kelewatan beberapa penerbangan sebelum ini tidak mengganggu proses pemindahan pelajar-pelajar dari Alexandria, Mansurah, Damanhur dan Dumyat. Setakat jam 2.15 petang (waktu tempatan) sebanyak 7 penerbangan telah berjaya dilakukan. Ini melibatkan seramai 1323 orang pelajar. Maklumat ini telah diberikan oleh Ustazah Nor Zakiah Zaidon (gambar), iaitu Atase Pendidikan (Khas Iskandariah). Beliau, menyatakan lebih kurang 972 orang pelajar bakal diterbangkan ke Jeddah selewat-lewatnya pada Isnin 7 Februari 2011. Beliau turut menasihati ibu-bapa  di Malaysia supaya tidak risau dengan anak-anak mereka. Ini kerana keadaan di Alexandria selamat dan tenang berbanding beberapa hari sebelum ini. Bekalan makanan juga mencukupi, tetapi berlaku kekalutan sedikit pada semalam semasa rombongan pelajar-pelajar tiba dari Mansurah seramai 1000 orang. Makanan yang disediakan tidak sempat ditambah, namun pelajar-pelajar memahami keadaan itu dan tidak menjadikan ianya masalah besar. Difahamkan ketika ini, Setiausaha Politik PM iaitu Datuk Shahlan Ismail telahpun berada di Alexandria bagi memantau keadaan pelajar-pelajar kita di sana.