Hostel pelajar Malaysia di Haiyil Asyir lengang
KAHERAH 8 Feb. - Suasana di hostel-hostel apartmen pelajar di Haiyul Asyir di Nasr City di sini, lengang dan jika tidak kerana kehadiran kanak-kanak Arab yang bermain bola di dataran berdepan apartmen, ia mungkin menjadi lebih sunyi.
Haiyul Asyir yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dari pusat bandar raya Kaherah merupakan blok-blok apartmen yang menempatkan rumah Pahang, Kedah, Selangor, Terengganu dan Sarawak.
Pada satu-satu masa, lebih 1,000 pelajar Malaysia bermukim di situ untuk ke kamus Universiti Al-Azhar yang berhampiran. Berikutan misi pemindahan keluar yang dilakukan sekarang, tidak sampai 10 orang berada di setiap blok.
Setelah beberapa ketika memberi salam dan menekan butang di pintu masuk, barulah pintu dibuka. Memang waktu kumpulan media Malaysia sampai itu serentak dengan waktu solat zohor.
Muncul seorang lelaki, Soleh Mohd. Isa, 37 yang berasal dari Kemboja tetapi memiliki status kerakyatan penduduk tetap Malaysia, yang pantas mesra melihat kelibat kami seramai enam orang.
Beliau yang sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah, mengendalikan Kafe Makmur di Rumah Pahang di situ bersama isterinya, Nurul Syuhada Mohd. Termizi, 25, berasal dari Bandar Muadzam Shah di Pahang.
Menurut Soleh, beliau dan isterinya mengambil keputusan untuk terus tinggal di situ disebabkan faktor kuliah, selain inisiatif untuk menjaga keselamatan harta-harta di situ daripada dicerobohi.
Menurutnya, kawasan kejiranan di situ sememangnya 'sedikit kental' dengan beberapa kes cubaan memecah masuk apartmen pernah dilaporkan, selain vandalisme seperti memecah tingkap atau merosakkan kenderaan pelajar di Malaysia.
''Orang Arab ini sikapnya memang kasar berbanding kita. Jadi kita pun kena keras juga supaya tidak mudah untuk mereka menekan kita terutamanya yang kita cap sebagai samseng kampung. Tetapi secara umumnya, pergaulan rakyat Malaysia dengan penduduk tempatan adalah harmoni dan aman," katanya.
Menurutnya, kebolehan beliau bercakap bahasa Arab dengan lancar, memudahkan lagi komunikasi dengan penduduk tempatan dan membantu mengelakkan kawasan rumah pelajar daripada dicerobohi.
Seorang lagi pelajar tahun akhir pengajian Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Shukri Fahmi, 26, berasal dari Temerloh juga menolak untuk mengikuti misi pemindahan kerana kuliahnya hanya berbaki tiga bulan untuk ditamatkan.
''Masa keadaan kucar-kacir minggu lalu, memang risau sikit sebab ada orang cuba pecah masuk. Sekarang lagi bimbang sebab rumah kosong, menyebabkan tidur tak lena. Tetapi saya bertuah kerana dua rakan berasal dari Maghribi sukarela menemani saya," ujarnya.
Satu tanggungjawab tambahan bagi Shukri selain menolong mengawal kawasan rumah di situ ialah memberi makan kucing Parsi dan beberapa ekor ikan milik rakannya yang pulang ke Malaysia.
Ia dilakukan dengan penuh amanah, apatah lagi Shukri sendiri turut membela seekor kucing Parsi yang dinamakannya Nabil.
Shukri yang menjamu wartawan Malaysia dengan kek yang dibuatnya sendiri , turut menjalankan 'usaha niaga kecil-kecilan' iaitu menyediakan nasi lemak yang dijualnya 100 bungkus sehari pada harga 3 pounds Mesir (kira-kira RM1.50).
''Pelanggan saya kebanyakannya pelajar perubatan di kampus saya. Kini mereka tiada, terpaksalah perniagaan ditutup sementara waktu," katanya sambil menghulurkan sepinggan lagi kek yang 'langsai' dalam lima minit.
Seorang lagi pelajar, Mohd. Shahir Abu Bakar, 24, yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan berkata, beliau menghubungi keluarganya di Felda Pancing Selatan, Kuantan setiap hari.
''Saya beritahu keluarga jika saya balik, tidak pasti siapa hendak bayar kos datang ke sini. Dan lagi, universiti pun tak ada bagi pengumuman rasmi sama ada kuliah ditangguhkan atau tidak. - UTUSAN