» Update: Senarai pelajar yang tiba di Jeddah & Malaysia «

Jamil Khir berkata, pelajar di negeri di bawah pakatan pembangkang yang tidak menerima bantuan kerajaan negeri pula boleh mendaftar di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan bantuan.

Followers

Friday, February 4, 2011

Berita BERNAMA 04 Februari, 2011 9.05 PM

Pelajar Malaysia Diminta Jangan Sertai Demonstrasi Di Mesir - Saifuddin
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Pelajar Malaysia yang berada di Mesir ketika ini diminta jangan menyertai sebarang aktiviti tunjuk perasaan anti Presiden Hosni Mubarak kerana ia hanya mengundang bahaya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata apa jua pandangan terhadap pemerintahan Mubarak perlu diketepikan dahulu kerana keutamaan sekarang adalah untuk meninggalkan Mesir yang kini sedang bergolak.

"Saya tahu mereka ada pandangan tertentu tapi keadaan sekarang amat tegang, jangan pertaruhkan nyawa untuk menyertai rusuhan sebegitu kerana bimbang nyawa mereka terancam," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berkata pelajar yang berada di sana ketika ini perlu mengikut arahan pemindahan dan bergerak keluar mengikut perancangan agar semua rakyat dan pelajar Malaysia boleh dipindahkan dengan selamat.

"Yang penting keluar dari Mesir dahulu," katanya.

Saifuddin mengulas tindakan beberapa pelajar di Mesir yang berhasrat menyertai kumpulan anti Mubarak yang desakan supaya presiden negara itu meletak jawatan di Dataran Tahrir, Kaherah.

Malaysia telah melancarkan misi "Ops Piramid" untuk memindahkan lebih 11,000 rakyat Malaysia di negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail adalah antara yang berada di Mesir bagi menguruskan pemindahan rakyat Malaysia.

Seramai 760 rakyat Malaysia telah berjaya dibawa keluar sejak semalam dan kini ditempatkan di Pusat Transit Tabung Haji Madinatul Hujaj di Jeddah, Arab Saudi.

Sejak 28 Jan lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar utama Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Mubarak meletakkan jawatan.

-- BERNAMA