» Update: Senarai pelajar yang tiba di Jeddah & Malaysia «

Jamil Khir berkata, pelajar di negeri di bawah pakatan pembangkang yang tidak menerima bantuan kerajaan negeri pula boleh mendaftar di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan bantuan.

Followers

Friday, February 11, 2011

BERNAMA 11 Februari 2011, 7.49pagi

Pelajar Malaysia Cerita Detik Cemas Lihat Jet Pejuang Terbang Rendah Di Tahrir
Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 10 Feb (Bernama) -- Kelibat beberapa jet pejuang tentera udara Mesir terbang rendah di sekitar kawasan Medan Tahrir, Kaherah pada 30 Jan, merupakan pengalaman yang mencemaskan bagi seorang pelajar Malaysia yang tinggal tidak jauh dari tempat demonstrasi dan rusuhan rakyat Mesir itu.

Akmal Huzaifah, pelajar perubatan Universiti Ain Shams, Kaherah berkata perasaannya tiba-tiba berasa seram melihat kehadiran dan mendengar deruan pesawat itu.

Kebimbangannya ialah kejadian lebih buruk akan berlaku di situ, lebih-lebih lagi kediamannya di Mounira, terletak hanya kira-kira 1 km sahaja dari Tahrir.

Namun beliau bersyukur mereka semua selamat dan gembira dapat pulang ke tanah air melalui operasi pemindahan oleh Kerajaan Malaysia.

"Simpang dekat dengan rumah kami tu jadi antara tempat pertempuran yang paling hebat, rakyat bertahan di situ, dan polis pun datang menyerang dan berlaku tolak menolak, sampai maghrib belum selesai lagi," katanya menceritakan kejadian demostrasi besar-besaran pada 28 Jan, sebelum kerajaan Mesir menguatkuasakan perintah berkurung mulai malam itu.

"Ada juga kawan-kawan saya pergi dekat nak tengok apa yang terjadi dan terkena gas pemedih mata, tapi mereka biasa-biasa saja selepas itu," katanya ketika ditemubual Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, di sini ketika transit dalam perjalanan pulang ke tanah air.

Sekumpulan 104 pelajar Malaysia di Mesir singgah di sini beberapa jam menunggu pertukaran pesawat untuk ke Kuala Lumpur setelah tiba dari Jeddah, telah diuruskan penukaran pesawat oleh para pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan enam peserta Diplomat Muda IDFR yang sedang melawat Jakarta.

"Yang paling menakutkan ialah bila malam pertama dan malam kedua perintah berkurung bila ada berita penjara dah pecah dan penjenayah dah keluar dan ada pula cerita-cerita kononnya polis-polis rahsia sengaja buat kacau, jadi malam tu agak takutlah.

"Malam tu kami tidur selak pintu, orang-orang tempatan banyak berkawal di lorong-lorong kawasan kediaman kami, bersenjatakan parang dan kayu," kata Akmal, yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.

Bagi Amirah Yaakob dan Nur Izzati Md Fuzi pula, dua minggu terakhir di Kaherah merupakan tempoh yang paling menakutkan bagi mereka.

Nur Izatti, pelajar Universiti Al-Azhar bidang Pengajian Islam berkata, walaupun rumahnya di Haiyu Sabiek, agak jauh dari Medan Tahrir, namun perasaan takut tetap ada kerana memikirkan ramai banduan yang terlepas dari penjara.

"Masa saya pergi ke Kedutaan Malaysia bawa kakak, saya nampak bangunan banyak terbakar, ada orang yang cedera teruk, kereta kebal merata-rata. Ia pemandangan yang menakutkan sekali," katanya.

Amirah, yang tinggal di Haiyu Asyir, tidak jauh dari kawasan kediaman Nur Izzati berkata beliau juga berasa takut dengan berita banduan terlepas dari penjara lebih-lebih lagi apabila berlaku kecurian di rumah seorang pelajar Malaysia dekat situ.

Pencuri yang memecah masuk rumah itu telah mengambil komputer riba dan satu telefon bimbit, katanya pelajar kursus bahasa Arab di Pusat Bahasa Markaz Nil, Kaherah.

Azizul Hafiz Ameruddin, pelajar Syariah dan Undang-undang Universiti Al-Azhar, pula berkata beliau dan rakan-rakan sering diajak oleh warga tempatan untuk turut serta dalam demonstrasi antiMubarak dan proMubarak tetapi mereka tidak menghiraukan seruan itu.

Azizul, dari Taman Melati, Kuala Lumpur berkata beliau gembira dapat pulang ke tanah air kerana kawasan tempat tinggalnya di Nasr City, sudah tidak aman lagi dengan banyak kedai tutup dan ada mesin ATM bank telah dipecahkan orang.

-- BERNAMA