» Update: Senarai pelajar yang tiba di Jeddah & Malaysia «

Jamil Khir berkata, pelajar di negeri di bawah pakatan pembangkang yang tidak menerima bantuan kerajaan negeri pula boleh mendaftar di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan bantuan.

Followers

Wednesday, February 9, 2011

BERNAMA 9 Februari 2011, 11.50pagi

Kohilan Cerita Pengalaman Getir Di Lapangan Terbang Kaherah
Oleh Ibnu Khusairi Ibnu Aris

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- "Mana nak sangka ia berlaku. Dua hari tak mandi dan tidur di lapangan terbang, badan lemah, namun tugas pindahkan semua pelajar tetap saya teruskan, rasa tidak senang hati kalau tidak dapat lakukannya sebaik mungkin," kata Timbalan Menteri Luar A.Kohilan Pillay semasa menceritakan pengalamannya ketika di Kaherah baru-baru ini.

Dengan 48 jam tanpa makan dan rehat serta terperangkap di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah yang kelam kabut, katanya beliau tetap menggagahkan diri ke segenap penjuru kawasan itu untuk mengesan rakyat Malaysia bagi urusan membawa mereka keluar dari Mesir.

Kohilan bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail serta pegawai-pegawai dari Majlis Keselamatan Negara berlepas ke Kaherah pada hujung bulan lepas dengan tugas menilai keadaan semasa dan mengatur rancangan membawa keluar rakyat Malaysia dari negara bergolak Mesir.

Pengalaman yang dialami pada hari ketiganya di Kaherah itu sememangnya tidak langsung diduga apabila ibu negara Mesir itu memulakan perintah berkurung akibat rusuhan yang semakin memuncak menuntut Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Menyedari yang dia tidak berpeluang untuk kembali ke hotel penginapannya, Kohilan yang dalam keadaan sehelai sepinggang terus berusaha mengurus kepulangan rakyat Malaysia di bawah program Ops Piramid.

Katanya pada waktu itu kawasan terminal lapangan terbang itu sesak dengan penumpang yang tidak sabar-sabar mahu meninggalkan Mesir, sehingga tiada banyak ruang untuk bergerak di kawasan itu.

Kohilan berkata dalam situasi itu rakyat Malaysia terpaksa dikumpulkan di sebuah kanopi pasang-siap yang terletak di luar terminal lapangan terbang itu.

Katanya beliau juga berhadapan dengan cabaran getir semasa berusaha untuk mendapatkan hak pendaratan bagi pesawat Malaysia berikutan keadaan trafik udara yang sibuk.

"Ada pesawat terpaksa berhenti di tengah-tengah laluan terbang kerana tidak boleh bergerak ke bangunan terminal, penumpang terpaksa berjalan kaki ke pesawat agar dapat segera berlepas," katanya.

Kohilan berkata beliau juga terpaksa mengharungi beberapa sekatan jalan raya semasa dalam perjalanan ke pejabat Kedutaan Malaysia, termasuk melalui lokasi-lokasi di mana demonstrasi besar-besaran sedang berlaku.

"Pertama kali saya lihat demostrasi melibatkan orang seramai itu yang dianggar lebih sejuta orang. Bila lalui kawasan itu suasana memang agak menakutkan, tapi saya redah juga," katanya.

Katanya beliau dan Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti juga pernah beberapa kali berjalan kaki lebih satu kilometer untuk memasuki perkarangan kedutaan kerana kenderaan terpaksa ditinggal atas faktor keselamatan.

Kohilan juga menceritakan pada hari keempat beliau di Kaherah, beliau dan beberapa pegawai kedutaan terpaksa berurusan di sebuah Balai Polis Tentera apabila beberapa anggota Kelab Putera 1Malaysia ditahan ketika mengedar makanan kepada pelajar Malaysia di Kaherah.

Katanya mereka ditahan kerana pihak berkuasa curiga makanan yang dibawa adalah untuk para penunjuk perasaan tidak kira mereka yang anti ataupun pro Mubarak, dan selepas beliau memberikan penjelasan barulah anggota kelab itu dibebaskan.

-- BERNAMA