» Update: Senarai pelajar yang tiba di Jeddah & Malaysia «

Jamil Khir berkata, pelajar di negeri di bawah pakatan pembangkang yang tidak menerima bantuan kerajaan negeri pula boleh mendaftar di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan bantuan.

Followers

Wednesday, February 23, 2011

Kisah Kedua Dari Wartawan Luqman Nul Hakim Mazlan

Wira Dalam Misi Bawa Pulang Pelajar Malaysia Dari Mesir
Oleh Luqman Nul Hakim Mazlan

Ini adalah siri kedua (akhir) rencana mengenai 'Ops Piramid' bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir baru-baru ini oleh wartawan Bernama Luqman Nul Hakim Mazlan yang mengikuti liputan misi menyelamat secara besar-besaran melibatkan ramai rakyat Malaysia di luar negara.

KAHERAH, 22 Feb (Bernama) -- Ramai yang masih tidak menyedari dalam kejayaan membawa pulang lebih 8,000 pelajar Malaysia di Mesir ke tanah air sebenarnya banyak pihak yang sanggup berkorban tenaga.

Mereka ini datang membantu atas pelbagai sebab antaranya kerana perasaan tanggungjawab untuk membantu negara.

Pelbagai halangan yang dihadapi semasa menjalankan operasi ini namun mereka tempuhinya dengan tabah demi menjayakan misi membawa pulang pelajar Malaysia daripada terperangkap di negara yang dilanda krisis politik.

Bukan sahaja tidak cukup tidur malah ada yang ditahan penduduk dan pihak keselamatan Mesir, yang bersenjatakan senapang jenis AK-47 semasa menjalankan tugas.

ATAS DASAR TANGGUNGJAWAB

Bekas Menteri Besar Perlis, Dato Seri Shahidan Kassim ketika ditemui Bernama berkata beliau datang sendiri untuk membantu kerana ada peranan di sana.

Shahidan berkata beliau "tabik" Najib kerana menghantar pelbagai pihak dan mengambil keputusan cepat dan tepat bagi melaksanakan 'Ops Piramid'.

"Ia keputusan yang cepat untuk misi pemindahan yang dibuat dalam jangka masa yang singkat," katanya.

Menurut Shahidan walaupun penat, beliau berasa seronok kerana dapat membantu proses pemindahan tersebut meskipun baru sahaja selesai membantu mangsa banjir di Johor.

"Ini adalah cara mengucapkan terima kasih kepada sebuah kerajaan yang telah banyak menolong saya selama ini, saya warga Malaysia yang berterima kasih dan bersyukur.

"Saya datang sendiri bersama empat lagi wakil media dari Malaysia, bayar tambang pun sendiri ," katanya.

Shahidan berkata beliau dan empat wakil media yang datang bersamanya mengalami tidak cukup tidur selama empat hari kerana membantu dalam 'Ops Piramid' supaya ia berjalan lancar.

HADAPI SITUASI CEMAS

Mohd Taha Hassan, 30, adik kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan juga datang ke Kaherah untuk membantu.

Tidak seperti Shahidan, bagi Mohd Taha ia adalah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila berhadapan dengan anggota keselamatan Mesir yang bersenjata.

Kejadian itu berlaku ketika beliau bersama tiga anggota rombongan kelab Putera 1Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk menghantar bekalan makanan kepada pelajar Malaysia yang ditempatkan di Dewan Malaysia Abbasiah.

Apabila beliau menghampiri Tahrir Square, dapat dilihat berjuta rakyat Mesir sedang melakukan tunjuk perasaan, dan tatkala itu kumpulan beliau ditahan oleh kira-kira 20 pegawai keselamatan bersenjatakan senapang jenis AK-47.

Kesemua mereka diarah ke balai polis tentera dan ditanya pelbagai soalan dan paling tidak dapat dilupakan ialah Ketua Unit Media Kelab Putera 1Malaysia, Mohd Khairul Rizzuan Abu Hassan diacukan senapang jenis AK-47.

"Tidak pernah saya menghadapi peistiwa sedemikian, saya cukup risau ketika itu, maklumlah sepanjang hampir lapan tahun saya berada di bumi Mesir untuk menuntut ilmu belum pernah saya menghadapi situasi sedemikian.

"Lagi pula mereka ramai, namun saya bersyukur kepada Allah akhirnya kami semua dibebaskan dan selamat juga akhirnya," katanya lagi.

Mohd Taha berkata beliau tidak pernah rasa menyesal membantu Kelab Putera 1Malaysia menghantar makanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Dewan Malaysia Abbasiah sehingga mengalami kejadian sedemikian rupa.

Sebaliknya beliau berasa bangga apabila dapat membantu rakyat Malaysia terutama dalam keadaaan yang cukup membimbangkan di Mesir ketika itu sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Ops Piramid.

DUTA MALAYSIA KE LIBYA TURUT BANTU

Seorang lagi yang tampil untuk membantu ialah Duta Malaysia ke Libya, Dzulkepli Mohd Nor.

Sungguhpun beliau telah diarahkan oleh Kementerian Luar untuk membantu proses pemindahan namun beliau sebenarnya datang kerana perasaan tanggungjawab kepada negara.

Ketika ditemui Bernama Dzulkepli berkata walaupun sukar menguruskan proses tersebut beliau masih berbangga dapat menyumbangkan bantuan.

"Ini adalah satu kebanggaan buat diri saya kerana dapat menjayakan misi ini," katanya.

JURUTERBANG AIR ASIA BANGGA SERTAI 'OPS PIRAMID'

Sementara itu, Dinish Alwyn Prabakaran seorang daripada juruterbang Air Asia yang terlibat dalam 'Ops Piramid' berkata beliau berasa terharu apabila dapat membantu penerbangan rakyat Malaysia dari Mesir.

Memandu pesawat dalam 'Ops Piramid' semestinya suatu pengalaman kepada Dinish terutama sekali apabila ia kali pertama sebuah pesawat AirAsia mendarat di Mesir.

Walaupun terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh mereka seperti kebenaran untuk mendarat kerana AirAsia tidak mempunyai penerbangan ke Kaherah dan Jeddah, namun syarikat penerbangan itu akhirnya mereka berjaya mengatasinya.

Pada ketika pelajar Malaysia selamat kembali di tanah air, rakyat Mesir juga telah kembali menjalani kehidupan seperti biasa selepas berjaya mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan menerusi 'kuasa rakyat' setelah memerintah Mesir lebih tiga dekad.

Para pelajar berkenaan mahu pulang semula ke Mesir untuk menyambung pengajian manakala rakyat Mesir pula mahu melihat masa depan yang baru untuk negara mereka.

-- BERNAMA