» Update: Senarai pelajar yang tiba di Jeddah & Malaysia «

Jamil Khir berkata, pelajar di negeri di bawah pakatan pembangkang yang tidak menerima bantuan kerajaan negeri pula boleh mendaftar di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan bantuan.

Followers

Wednesday, February 23, 2011

Kisah Pertama Dari Wartawan Luqman Nul Hakim Mazlan

Kejayaan Ops Piramid Berkat Keikhlasan Dan Kerjasama
Oleh Luqman Nul Hakim Mazlan

Ini adalah satu daripada dua siri rencana mengenai Operasi Piramid bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir baru-baru ini oleh wartawan Bernama Luqman Nul Hakim Mazlan yang mengikuti liputan misi menyelamat secara besar-besaran melibatkan ramai rakyat Malaysia di luar negara.

KAHERAH, 21 Feb (Bernama) -- Kejayaan membawa pulang lebih 8,000 pelajar Malaysia dari Mesir baru-baru ini di bawah "Ops Piramid" jelas menunjukkan keupayaan pelbagai agensi dalam mengatur satu misi menyelamat yang berjaya dilaksanakan di luar negara.

Walaupun terdapat cakap-cakap yang tidak menyenangkan bahawa keseluruhan operasi itu bukannya apa sekadar untuk meraih sokongan politik, namun hakikatnya Malaysia mempunyai keupayaan dan aset untuk mengendalikan misi menyelamat rakyatnya di luar negara.

Episod di Mesir juga adalah susulan kejayaan misi di luar negara oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelamatkan sebuah kapal tangki kimia Malaysia serta 23 anak kapalnya di Teluk Eden yang dirampas oleh sekumpulan lanun Somalia. Tujuh daripada lanun berkenaan dibawa pulang ke Malaysia untuk didakwa.

Bagaimanapun, tidak seperti di Teluk Eden yang melibatkan tindakan ketenteraan, di Mesir ia adalah misi kemanusiaan melibatkan jumlah yang ramai, pelbagai pihak dan negara ketiga.

KRONOLOGI PERISTIWA

Mesir mengalami pergolakan pada awal Februari apabila rakyatnya mengadakan tunjuk perasaan di bandar-bandar pentingnya - Kaherah, Luxor, Alexandria - untuk menyingkir Presidennya Hosni Mubarak yang telah tiga dekad memerintah hingga dituduh menyebabkan negara berkenaan mengalami masalah ekonomi dan sosial.

Undang-undang dan arahan tidak lagi dipatuhi hinggakan rakyat asing di negara itu termasuk lebih 11,000 pelajar Malaysia diselubungi ketakutan.

Apabila rejim Mubarak berusaha menyurai dan mententeramkan keadaan oleh penunjuk perasaan itu dengan bertindak menghentikan talian Internet dan telekomunikasi, menyebabkan pelajar Malaysia tidak dapat berhubungan ke Malaysia.

Secara tidak langsung ia menyebabkan orang ramai terutama ibu bapa di Malaysia tidak dapat menghubungi anak masing-masing yang belajar di sana hingga menimbulkan perasaan risau yang amat sangat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama kemudian pada 1 Feb membuat keputusan bijak apabila mengumumkan untuk membawa keluar pelajar Malaysia setelah mendapat laporan daripada delegasi Malaysia ke sana yang diketuai Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay.

Berikutan itu operasi terbesar yang pernah dibuat oleh Malaysia di luar negara dilancarkan.

Operasi itu kemudian dinamakan 'Ops Piramid' merangkumi kepakaran dan aset seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelab Putera 1Malaysia, Lembaga Tabung Haji, syarikat-syarikat penerbangan Air Asia dan Penerbangan Malaysia (MAS).

SUMBANG PESAWAT BAWA PELAJAR PULANG

Pesawat memainkan peranan penting semasa Ops Piramid dalam memindahkan pelajar dari Mesir ke Jeddah untuk proses transit sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Operasi itu yang bermula pada 2 Feb pada asal melibatkan dua pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tetapi memandangkan ia melibatkan jumlah pelajar yang ramai dengan ketidaktentuan keadaan di Kaherah, AirAsia dan MAS juga disenaraikan bagi tujuan mempercepatkan operasi pemindahan sebelum keadaan di Mesir bertambah runcing.

Kerajaan Arab Saudi yang menyedari bahawa Malaysia berusaha untuk mengeluarkan dengan seberapa segera rakyatnya telah bermurah hati menyumbang dua pesawat Boeing 747 Saudi Airlines untuk menyertai operasi itu.

Kapal KD Bunga Mas 5, yang terlibat dalam misi menyelamatkan kapal di Teluk Eden, juga diarahkan berjaga-jaga di 'pelabuhan Kaherah' memandangkan penerbangan udara mencukupi dan kumpulan terakhir dibawa pulang ke tanah air ialah pada 7 Feb.

MEREKA DI BELAKANG TABIR

Bagi kesemua mereka yang terlibat dalam operasi berkenaan ia dianggap sebagai keikhlasan dan satu penghormatan dalam menghulurkan khidmat dan bantuan ketika diperlukan oleh negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun ketika ditemubual Bernama baru-baru ini berkata pihaknya berasa bangga apabila dapat turut dalam menjayakan operasi pemindahan tersebut.

"Pelbagai perasaan yang tidak dapat diungkapkan terutamanya perasaan terharu boleh saya katakan apabila kami dapat menyertai operasi ini, bukannya senang kami sebagai sebuah Airlines untuk dapat turut serta operasi ini, kami bersyukur.

"Ini bukan sesuatu yang dirancangkan tetapi apabila kerajaan memohon bantuan dengan senang hati kami menghulurkannya," katanya.

Sementara itu, Lembaga Tabung Haji (TH) turut memainkan peranan yang penting apabila kemudahan Tabung Haji di Jeddah digunakan sebagai tempat transit kepada pelajar dan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail memberitahu Bernama bahawa pengalaman Lembaga Tabung Haji menguruskan jemaah Haji digunakan sepenuhnya bagi menjayakan operasi itu.

"Saya rasa tidak sukar untuk menguruskan mereka yang dipindahkan ke Jeddah kerana sebelum ini pernah menguruskan jemaah haji yang jumlahnya lebih besar," katanya.

Tabung Haji menghantar tujuh petugas dari Kuala Lumpur bagi membantu pegawai Tabung Haji yang berada di Jeddah.

"Pegawai kita di sana (Jeddah) yang sedang bercuti pun kita panggil pulang untuk membantu menguruskan pelajar," katanya.

MAJLIS KESELAMATAN NEGARA DAN KEMENTERIAN LUAR

MKN dan Kementerian Luar membuka bilik gerakan yang beroperasi 24 jam di Wisma Putra untuk memantau keadaan pelajar yang masih berada di Mesir.

Pelajar boleh menghubungi bilik operasi untuk menyatakan status mereka dan begitu juga ibu bapa untuk mengetahui perkembangan anak masing-masing.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamaed Thajudeen Abdul Wahab berkata pihaknya mewujudkan zon-zon selamat untuk pelajar semasa proses pemindahan tersebut bagi memudahkan mereka menguruskan pelajar berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya juga terpaksa mengarahkan operasi pemindahan dijalankan selama 24 jam apabila banyak penerbangan tertangguh.

Begitu juga dengan Kelab Putera 1Malaysia, begitu sibuk mengurus dan menyusun atur pelajar di Mesir seperti penyediaan makanan dan menyusun senarai pelajar yang akan menaiki kapal terbang.

Presidennya Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata walaupun terdapat pelbagai halangan dan rintangan semasa bantuan itu namun pihaknya berjaya menyelesaikan amanah yang telah diberikan.

"Alhamdulillah akhirnya kami berjaya menyelesaikan misi ini walaupun banyak cabaran yang dihadapi pada mulanya.

"Berkat kerjasama pelbagai pihak yang terlibat akhirnya berjaya mengatasi masalah yang mendatang," kataya.

-- BERNAMA